Kucing jalanan menang hadiah

KUALA NERUS: Minat dan sayang menyebabkan seseorang sanggup menghabiskan wang ringgit untuk memelihara kucing terutama daripada baka terbaik.

Pasangan suami isteri, Mohd Fizi Abdullah, 43, dan Rozita Haron, 43, tidak terkecuali, malah turut memelihara kucing jalanan yang diselamatkan.

Mohd Fizi berkata, sehingga kini, dia dan isteri memelihara 87 ekor daripada pelbagai baka seperti Maine Coon dan British Shorthair termasuk baka tempatan dengan separuh daripadanya adalah kucing jalanan yang selamatkan.

Katanya, enam daripada kucing peliharaannya dikategorikan sebagai istimewa kerana cacat pada bahagian anggota badan.

Mohd Fizi berkata, dia dan isteri menjumpai kucing jalanan yang diberi nama Mr Ungkallicious, tujuh tahun lalu di Pasar Alor Gajah, Melaka yang mengalami masalah mata.

“Masa saya jumpa Ungkal, matanya seakan terkeluar dan kami membawanya ke klinik veterinar untuk rawatan. Doktor menyarankan Ungkal menjalani pembedahan bagi membuang mata supaya tidak menjadi lebih parah.

“Alhamdulillah, kesihatan Ungkal baik dan ia sentiasa aktif sesuai dengan namanya Ungkal dalam bahasa Jawa yang bermaksud aktif dan degil,” katanya ketika ditemui pada Pertunjukan Kucing Antarabangsa CFA Terengganu 2019 di Stadium Tertutup di Gong Badak, di sini, hari ini.

Turut berangkat pada pertunjukan itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama anakanda baginda, Tengku Nadhirah Zaharah dan Tengku Muhammad Mua′az.

Turut mengiringi keluarga diraja ini, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A Rahman Yahya.

Mohd Fizi berkata, minatnya terhadap kucing juga menyebabkan dia dan isteri sering menyertai beberapa pertunjukan kucing yang diadakan baik dalam negara mahupun di luar negara.

Pada Pertunjukan Kucing Antarabangsa CFA Terengganu 2019 semalam, Mr Ungkalicious memenangi tempat keenam bagi kategori Household Pet.

Pada pertunjukan kucing antarabangsa yang kali pertama diadakan di Terengganu ini, lebih 140 kucing terbaik daripada pelbagai baka di rantau ini tampil dalam acara dua hari sehingga hari ini yang turut menyaksikan penyertaan daripada Indonesia dan Thailand.

Program anjuran kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Terengganu dan Asian Abyssinian Cat Club itu diadili oleh 10 hakim dan juri antarabangsa dari China, Hong Kong, Jepun, Australia dan Amerika Syarikat.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*