Anak Lan Solo cedera dihempap ketika bermain luncur ais

KUALA LUMPUR: Isteri penyanyi Lan Solo bersyukur, anak lelakinya, Muhammad Akid Qassyaff tidak mengalami kecederaan serius apabila terjatuh, seterusnya dihempap lelaki bertubuh besar ketika bermain luncur ais di sebuah pusat beli-belah, kelmarin.

Nur Sheila Hassim atau Sheila, 34, berkata dia sudah membawa Akid, 4, ke klinik untuk membuat pemeriksaan selepas anak ketiganya itu mengadu sakit hingga menyukarkan pergerakannya.

“Pagi tadi, Akid mengadu sakit untuk melakukan aktiviti seperti bangun dan duduk, jadi saya terus membawanya ke klinik. Mujur selepas membuat pemeriksaan, doktor mendapati dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Cuma, saya perlu perhatikan pergerakan Akid sepanjang tiga hari ini. Risau juga jika sakit yang dialaminya berlarutan. Jika sakitnya masih belum hilang, dia perlu menjalani imbasan MRI (magnetic resonance imaging),” katanya.

Sheila berkata, anaknya itu masih mampu meneruskan aktiviti meluncur selepas terjatuh, malah tidak trauma dengan pengalaman pertama yang dilaluinya.

“Akid tetap teruja bermain, walaupun diikutkan hati, saya sudah serik membawa anak melakukan aktiviti itu. Masih terbayang-bayang bagaimana lelaki warga asing bertubuh besar itu menghempap anak saya.

“Tetapi, saya lihat Akid tetap bersemangat untuk meluncur. Mungkin kerana itu pengalaman pertama, jadi Akid agak sukar mengimbangi badan.

“Tiba-tiba, seorang lelaki ‘mat saleh’ yang mempunyai berat sekitar 90 kilogram muncul dan turut terjatuh, lalu menghempap belakang Akid. Kejadian itu membuatkan Akid tidak boleh bergerak dan hanya mampu menangis,” katanya.

Susulan kejadian itu, Sheila mencadangkan, pihak pengurusan luncur ais itu membuka gelanggang berasingan mengikut kemahiran individu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Bayangkan, kalau yang mahir pun boleh jatuh, apatah lagi yang baru belajar. Sekurang-kurangnya, pengasingan itu dapat mengelak daripada berlaku kecederaan.

“Mujur, pihak pengurusan bertindak pantas, malah lelaki terbabit turut memohon maaf dan membantu kami,” katanya.

Sheila dan Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 34, mendirikan rumah tangga pada 6 Disember 2009.

Selain Akid, mereka turut dikurniakan tiga lagi anak iaitu Nur Amna Qaleesya, 7, Nur Amna Qeesyara, 5, dan Nur Amna Quxandra, setahun.

sumber: beritaharian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*