‘Rezeki tetap masuk walaupun mengensot’

JERANTUT: Semangat berkobar seorang warga emas orang kelainan upaya (OKU) berdikari membolehkannya menjadi peraih buah-buahan sejak 20 tahun lalu hingga mampu memasarkan hampir 1.5 tan durian sehari.

Abdul Mutalib Mohamad, 61, atau lebih dikenali sebagai Pok Tar, tidak menjadikan kecacatan kaki yang memaksanya mengensot sebagai pematah semangat untuk menjadi peraih durian utama di daerah ini.

“Bekalan durian saya peroleh daripada pekebun di sekitar kampung di daerah ini yang memang terkenal dengan pusat pengeluaran durian bermutu tinggi.

“Alhamdulillah, rezeki musim durian kali ini agak lumayan dengan kira-kira 100 pekebun menghantar durian ke Pusat Pengumpulan Hasil di pekan Damak ini sebelum dipasarkan ke tempat lain,” katanya.

Meskipun hanya mengensot, Pak Tar tetap menjadi tumpuan pekebun, peniaga dan pembeli durian setiap kali musim raja buah itu, bagi mendapat bekalan segar dan berkualiti.

Sejak bulan lalu, pusat pengumpulan terbabit menjadi tumpuan orang ramai yang tidak putus-putus sehingga berakhir musim.

“Setiap hari saya akan memasarkan purata satu hingga 1.5 tan durian pelbagai jenis untuk pasaran tempatan serta keperluan peraih dari Kuantan dan Lembah Klang.

“Setiap hari pusat ini akan sesak dengan urusan keluar masuk bekalan durian dari jam 7 pagi hingga 10 malam,” katanya yang turut menjadi peraih buah-buahan lain seperti pisang, manggis, dokong, rambutan dan petai.

Selain membekalkan durian, Abdul Mutalib yang menetap di Kampung Damak turut menerima tempahan daripada pelbagai pihak termasuk golongan kenamaan serta agensi kerajaan.

sumber: beritaharian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*