Sambut ulang tahun ke-101 di Tanah Suci

JAUH di luar kotak imaginasi Abdul Gapak Mahmud dijemput menjadi duyufurrahman atau tetamu Allah pada usianya menginjak 101 tahun, apatah lagi hari lahirnya disambut Muassasah Asia Tenggara dalam majlis di Abraj Janadriyah di Makkah, hari ini.

Abdul Gapak, bekas nelayan dari Kudat, Sabah, menunaikan haji tahun ini bersama isterinya Siti Maimun Hassan, 60, ceria meraikan sambutan itu, malah ketika di temu bual pemberita, dia sempat berseloroh mengenai kasih sayang isterinya yang setia membawanya ke Tanah Suci.

“Saya syukur dapat datang ke Makkah. Terima kasih sewaktu datang sini terima penghormatan (dalam majlis itu) kepada saya, amat gembira… Alhamdulillah dihormat begini ketika mengerjakan haji tahun ini.

“Saya gembira senang hati di sini tiada susah-susah, susah bagaimanapun saya terima dengan reda. Dengan bini ku ini suka hati datang sini, saya pun hairan umur sudah 101 tahun kenapa bini ku lebih muda ini sangat rapat pada suaminya di sini,” katanya disambut dengan ketawa kecil Siti Maimun.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Muassasah Asia Tenggara Mohamad Amin Hassan Andaqiri dan Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Tahun ini 30,200 jemaah Malaysia akan melaksanakan ibadah haji dengan lebih 13,000 orang telah tiba di sini dan Madinah, dibantu 640 petugas Lembaga Tabung Haji (TH).

Muassasah Asia Tenggara merupakan pihak dilantik kerajaan Arab Saudi untuk menguruskan segala penyediaan kemudahan jemaah haji dari negara-negara Asia Tenggara, termasuk penginapan dan pengangkutan.

 

Abdul Gapak yang genap berusia 101 tahun pada 3 Julai lalu berkata, dia menjaga pemakanan dengan tidak memakan makanan bergoreng dan bahan mengandungi kimia, selain yang utama sentiasa berdoa kepada Allah.

“Tetapi apa sahaja nama sayur saya tidak makan. Tidak ada apa doa tertentu, setiap kali sembahyang minta Allah supaya saya sihat, panjang umur bersyukur dapat panjang umur,” katanya yang mempunyai enam anak dan tiba bersama isterinya di sini pada Sabtu lalu.

Siti Maimun, berketurunan Bajau seperti suaminya, berkata, mereka berdua tidak berasa risau malah senang hati untuk mengerjakan haji di Tanah Suci walaupun pada usia emas ini kerana berserah sepenuhnya kepada Allah untuk menentukan segalanya.

“Hidup mati, ajal kita di tangan Allah jadi saya juga sering bagi tahu kepada keluarga di kampung jangan risau dengan kami di sini. Amat senang diraikan begini dan anak-anak dapat melihat di kampung nanti,” katanya yang merupakan isteri kedua Abdul Gapak. Isteri pertama sudah meninggal dunia.

Sementara itu, Mohamad Amin berkata, pihaknya meraikan hari lahir Abdul Gapak kerana melihat jemaah haji di sini sebagai sebuah keluarga yang besar dan lebih daripada hubungan jemaah haji semata-mata.

“Rukun haji bukan hanya ibadah (semata-mata), masuk juga semangat muhasasah Asia Tenggara bantu jemaah kita senang hati berkhidmat untuk jemaah haji, kita lihat Abdul Gapak seperti bapa. Kita doa kepada Allah jemaah haji Malaysia dapat haji mabrur,” katanya.

Beliau yang mampu berbahasa Malaysia berkata Abdul Gapak merupakan jemaah haji tertua Asia Tenggara yang telah tiba di Tanah Suci masa ini dan dijadualkan seorang jemaah haji dari Indonesia berusia 130 tahun akan tiba tidak lama lagi.

sumber: harianmetro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*