Wanita bersalin di pekarangan IPD Arau

ARAU: Sepasang suami isteri dari Pauh, Arau, berhadapan detik cemas apabila terpaksa bersalin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau selepas tidak sempat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari tadi, Anis Syabila Roslan, 19, tidak menyangka bakal melahirkan bayi perempuan di tapak letak kenderaan di IPD Arau ketika dibawa suaminya, Mohd Ikhwan Mohd Sidi, 22, ke hospital.

Ibu Mohd Ikhwan yang dikenali sebagai Toyibah, 41, berkata sebelum kejadian dia bersama anak dan ibu bapa menantunya dalam perjalanan dari Pauh untuk menghantar Anis ke HTF pada jam 11.30 pagi.

“Pagi tadi, anak (Mohd Ikhwan) telefon saya dan memberitahu Anis yang berada di rumah mengalami pendarahan dan mengadu rasa sakit hendak bersalin.

“Saya kemudian terus ke rumah mereka dan mengikut menaiki kereta untuk menghantar menantu ke HTF dengan menaiki kereta dipandu bapa Anis, namun ketika tiba di Arau, ibu Anis memaklumkan kepala bayi sudah kelihatan.

“Bapa Anis yang sedang memandu kemudian terpaksa membelok masuk ke pekarangan IPD Arau dan meminta izin anggota polis untuk membantu Anis bersalin di kawasan tapak letak kenderaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, anggota berkenaan memberi keizinan kepada mereka serta turut membantu keluarga berkenaan bagi memudahkan Anis bersalin.

“Pada mulanya dia (anggota polis) menawarkan bilik kosong tetapi dengan keadaan Anis yang sedang bertarung nyawa, kami tidak dapat memindahkannya dan dia terpaksa bersalin di dalam kereta.

“Kira-kira jam 12 tengahari, Anis selamat melahirkan bayi perempuan di dalam kereta sebelum ambulans tiba dan membawanya ke HTF untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

“Kami bersyukur semuanya selamat dan berterima kasih kepada pihak IPD Arau yang turut membantu menantu melahirkan cucu,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang pertama kalinya berlaku di dalam kawasan IPD Arau itu.

“Melihatkan keadaan mereka yang darurat, semestinya anggota kami akan membantu sedaya mungkin untuk memudahkan urusan keluarga berkenaan.

“Kami bersyukur tiada komplikasi yang berlaku sewaktu bayi berkenaan dilahirkan dan adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota dan pegawai polis untuk membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya.

sumber: beritaharian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*