Bapa berkorb4n derma hat1 kepada anak

MARAN: Seorang bapa bersedia mendermakan sebahagian hati kepada anaknya berumur 11 tahun yang perlu menjalani pembedahan untuk pemindahan organ itu dalam masa terdekat.

Romizan Alang Bahari, 38, sanggup berkorban demi memastikan anak, Nur Syafiqa yang disahkan menghidap penyakit hati kronik atau ‘Biliary Atresia’ ketika berusia 86 hari, dapat meneruskan hidup secara normal.

Romizan yang berasal dari FELDA Jengka 12, dekat sini, berkata pembedahan itu boleh dilakukan selepas pihak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadapnya pada awal bulan ini.

“Ujian (kesihatan) sudah dijalankan dan saya lulus pemeriksaan dilakukan PPUM. Selepas kira-kira 11 tahun menanti, saya berharap pembedahan dapat dijalankan segera.

“Bagaimanapun, kami agak buntu memikirkan kos pembedahan yang mencecah RM120,000.

“Kami tidak tahu mana untuk mencari sumber menampung kos proses pemindahan hati itu yang dijadualkan pada bulan depan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Romizan yang hanya berniaga secara kecil-kecilan berkata, walaupun isteri, Norazlina Ramli, 39, bekerja sebagai jururawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, ia bukan bermakna semua kos perubatan ahli keluarganya ditanggung kerajaan.

“Buat masa ini, saya mendapatkan bantuan dan sumbangan ahli keluarga serta rakan yang prihatin, namun jumlah diperlukan hampir mustahil dapat dikumpul dalam masa singkat.

“Saya berharap ramai lagi dapat menghulurkan sumbangan untuk membantu kerana dia (Nur Syafiqa) sajalah anak yang kami ada kini. Seorang lagi anak, Nurdianadira, meninggal dunia ketika berusia enam tahun (tahun lalu) kerana penyakit berkaitan jantung,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Romizan melalui telefon 018-287 7404.

sumber: beritaharian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*